Tsunami perubahan itu memang tak mungkin dihalang lagi. Rakyat sudah muak dengan kemungkaran yang terus diterajui Umno-BN yang seperti tak mahu sedar-sedar juga.
Pilihan raya kecil Permatang Pauh pun tak mungkin memberi keputusan yang lain daripada yang berlaku pada 26 Ogos. Hanya sama ada majoritinya bertambah atau berkurang sahaja yang diperkatakan pemerhati dan penganalisis sebelumnya.
Maka apabila keputusan mengesahkan majoriti bertambah, orang seperti bertambah percaya bahawa pada 16 September Abdullah dan pasukannya terpaksa mengiktiraf kewibawaan Anwar Ibrahim untuk membuat perubahan besar di negara ini.
Kami budayawan-seniman-cendekiawan dalam Paksi bukan sahaja memerhati setiap gerak politik yang Sdr pimpin sejak dari krisis 1998 itu, tetapi sebahagian besar kami memang turut melibatkan diri dalam arus yang kadang-kadang dilihat kawan-kawan sebagai songsang itu.Bahkan itulah faktor kewujudan kami sendiri pun.
Surat ini ditulis pada waktu orang sedang sibuk bertanya betulkah akan ada kerajaan barupada 16 September ini atau itu hanya gimik politik Anwar? Ya, apa pun serba mungkin pada hari ini di negara ini.
Tidak mustahil Sdr tiba-tiba ditangkap lagi bagi menghalang berlaku perubahan kuasa politik pada tarikh tersebut. Tetapi siapakah yang punya kuasa untuk menghentikan gelombang sebuah tsunami pada waktu ia sedang ghairah menggulung mangsanya?
Ya, apa pun memang boleh saja berlaku di negara ini pada hari ini. Tiada yang mustahil. Maka ketika kawan-kawan mencadangkan supaya saya menulis surat bagi menyatakan tahniah Paksi atas kemenangan Sdr di Permatang Pauh, saya kurang berminat.
Tetapi selepas itu apabila saya sering dihujani soalan betulkah 16 September ini..? betulkah akan..? betulkah ini?.. betulkah itu..?.. maka saya pun membuka laptop dan memulakan wacana ini.