Teresa Kok dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hari ini selepas disiasat selama seminggu.
Beliau dibebaskan di balai polis Jalan Travers, Kuala Lumpur jam 1 petang.

DAP memaklumkan satu sidang media berhubung pembebasan itu akan diadakan di ibu pejabatnya di Petaling Jaya jam 3.30 petang.
Exco kanan kerajaan Selangor itu ditahan bawah ISA menjelang tengah malam Jumaat lepas.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata Teresa dibebaskan selepas polis berpuas hati dengan siasatan dan tiada lagi sebab-sebab untuk terus menahannya.
"Selepas penangkapan dan siasatan dijalankan, polis berpuas hati bahawa tiada lagi sebab untuk meneruskan penahanan lanjut dan memutuskan untuk membebaskan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, ahli politik popular itu ditahan di hadapan pintu masuk kondominium Pearl Tower, OG Height, Jalan Awan Cina, Kuala Lumpurpada 12 September selepas disyaki terlibat dalam perkara-perkara yang memudaratkan keselamatan negara.