KUALA LUMPUR, 15 Sept (Hrkh) - Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) telah dimaklumkan tentang adanya beberapa poster dan kain rentang diletakkan di beberapa tempat di Kuala Lumpur tentang suatu perhimpunan dan perarakan ke Istana Negara pada 16 September 2008 yang kononnya dianjurkan oleh Parti Keadilan Rakyat.
Demikian kata Salehuddin dalam satu kenyataannya hari ini.
"Penyebaran maklumat palsu yang melibatkan KeADILan ini dilihat sebagai suatu usaha terdesak pihak tertentu yang mahu menimbulkan kekacauan dan mencetuskan ketidaktenteraman awam dan akan seterusnya menimbulkan kebimbangan kepada warga penduduk Kuala Lumpur," katanya.
KeADILan juga menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan sebarang dakyah palsu yang sedang dijaja dan disebar secara meluas oleh golongan jahat yang mengamalkan politik fitnah.