"Jadi atau tidak?" Itu soalan paling popular mutakhir ini. Ia merujuk kemungkinan kerajaan pusat bertukar tangan 16 September depan.
Justeru, banyak SMS tak berjawab. "Lagipun," kata saya, "16 September hanya tinggal beberapa hari saja lagi, tunggulah."
Namun, naluri manusia memang mahu tahu sesuatu berita panas lebih awal daripada pemakluman secara sah. Begitu juga dengan keputusan pilihan raya Permatang Pauh yang lalu, semua orang berebut-rebut mencari sumber bagi mendapatkan maklumat awal, sedangkan rasanya mereka tidak pula mendapat apa-apa manfaat tambahan dengan result tidak rasmi itu.
Majoriti rakyat Malaysia mengharapkan perubahan lebih baik daripada sistem pemerintahan dan pentadbiran kerajaan hari ini. Tsunami 8 Mac belum berakhir.
Keluh-kesah rakyat makin memanjang. Umno-BN mungkin sedaya upaya cuba memulihkan kedudukannya yang hampir tenggelam itu, tetapi jalan keluar seperti tertutup. Buntu.
Pertelagahan dalaman tidak dapat disembunyikan lagi. Tengok sajalah kes Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Ahmad Ismail. Saya kira insiden itu boleh mempercepatkan lagi Gerakan bertindak keluar BN!
Saya sendiri tidak dapat menelah dengan tepat apa strategi Anwar Ibrahim mengumumkan lebih awal tarikh 16 September itu. Yang pasti, kesan psikologinya memang cukup hebat.
Misalnya, tiba-tiba saja timbul cadangan lawatan keluar negara untuk anggota Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN-BBC) bagi "mengetahui maklumat teknologi tinggi pengeluaran makanan dan pertanian".
Satu program yang begitu melucukan, ketika umat Islam mendakap erat bulan penuh keberkatan dan kakitangan kerajaan dilarang mengadakan program di luar negara.
Nampak sangat mengelabahnya kerajaan BN dengan "usikan" Anwar. Kini, Anwar berjaya meletakkan bebanan mempertahankan diri kepada Umno-BN.
Diakui memang terdapat percanggahan pendapat mengenai kerajaan baru yang bakal dibentuk Anwar, terutama dari segi moral "melompat atau menyeberang" parti, atau membentuk gabungan lebih besar dalam Pakatan sekiranya parti-parti komponen bertindak keluar BN.
Begitu juga dengan kekhuatiran bahawa kuasa Melayu dalam kerajaan baru itu semakin menipis; Naib Presiden PAS, Husam Musa menyanggah keras kebimbangan itu, yang kalaupun ada, baginya hanya bersifat sementara.
Justeru, langkah PAS semakin diperhatikan. Posisinya dalam Pakatan bertambah penting. Silap perhitungan, deraan sejarah selalunya keras.
Kebijaksanaan mengatur gerak amat dituntut, selain melihat harapan menggunung rakyat yang mahu mencipta sejarah kedua selepas tsunami 8 Mac.
Seorang rakan lama Tionghua agak kerap menelefon, mengingatkan saya tentang kepentingan PAS untuk bersama-sama melakar sejarah baru politik tanahair: "Saya yakin keseimbangan politik kita hanya terjamin jika PAS berada dekat di sebelah Anwar dalam kerajaan baru nanti, bukan DAP, bukan Lim Kit Siang atau parti-parti lain.
"Jumlah anggota Parlimen setiap parti memang penting, tetapi yang lebih mustahak ialah kemahiran kita untuk membaca sensitiviti kaum dan agama yang menjadi elemen penting politik kita.
"Maaf, saya kira komposisi Exco di Perak seperti memandang enteng hal berkenaan. Jangan ulanginya di peringkat pusat jika 16 September jadi kenyataan."
Amad Lufti Othman