Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Papan Kenyataan


    Custom Glitter Text



    Myspace Photo Cube


    PLAN MESRA - TAKAFUL ETIQA

    Manfaat Utama

    • Perlindungan dibolehkan sehingga umur 80 tahun.

    • Akhir tempoh kontrak keseluruhan Akaun Peserta akan dipulangkan + perkongsian keuntungan dari Akaun Peserta dan lebihan Akaun Khas Peserta.

    • Jika berlaku kematian, manfaat yang dibayar adalah jumlah perlindungan + Akaun Peserta Terkumpul + keuntungan Akaun Peserta.

    • Sekiranya berlaku keilatan kekal dan menyeluruh, jumlah perlindungan akan dibayar dalam 5 pembayaran. 10% daripada jumlah perlindungan serta amaun terkumpul dan keuntungan dari Akaun Peserta apabila sahnya keilatan, 10% pada ulang tahun pertama hingga tahun ketiga dan bakinya sebanyak 60% pada tahun keempat dari tarikh keilatan.

    • Nilai serahan Akaun Peserta terkumpul dari tahun kedua penyertaan. Boleh dikeluarkan tanpa perlu bayar balik.

    • Atas apa juga sebab, sekiranya anda tidak dapat meneruskan sumbangan, anda boleh memilih satu daripada pilihan di dalam ‘peruntukan bukan lucuthak’ untuk meneruskan penyertaan.


    MENJANGKAU HARAPAN MEMUGAR IMPIAN

    MENJANGKAU HARAPAN MEMUGAR IMPIAN
    Ketika mengendalikan Sistem SISMEP di Permatang Pauh. Sistem ini dapat mengenalpasti pengundi setiap rumah.

    Sunday, February 28, 2010

    Pencarian pengganti Taib berterusan...

    Feb 27, 10 7:34pm
    Persidangan perwakilan tiga tahun sekali Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang bermula di Kuching, Isnin ini mungkin satu perkara membosankan berikutan tiada pertandingan bagi jawatan-jawatan utama kecuali bagi beberapa kerusi dalam majlis tertinggi parti.

    Bagaimanapun, atas sebab-sebab politik, persidangan ini akan menarik perhatian penganalisis politik dan para anggota parti memandangkan presiden parti yang telah lama berkhidmat dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud sekurang-kurangnya mungkin memilih majlis itu bagi membayangkan, paling sedikit, siapa bakal penggantinya.

    Sesetengah anggota dalam parti membuat spekulasi bahawa Taib akan memberikan bayangan mengenai kemungkinan siapa selepas ini kerana ini boleh menjadi tempoh terakhir beliau menerajui PBB, parti politik paling kuat di Sarawak.

    Tapi, biar betul? Ramai yang masih ragu-ragu bahawa beliau akan berbuat demikian demikian pada ketika ini.

    "Beliau sepatutnya mempunyai strategi peralihan mulai sekarang tetapi tiada bukti mengenainya,” kata Datuk Seri Daniel Tajem, yang pernah berkhidmat sebagai timbalan ketua menteri kepada Taib pada awal 1980-an.

    Tajem, yang kini seorang penasihat PKR Sarawak, berkata Taib perlu menghadapinya dan bergelut tanpa menghindarinya dan mengumumkan bahawa beliau akan berhenti dan melepaskannya.

    Penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian percaya bahawa Taib akan melepaskan kedudukan tertinggi parti hanya selepas pilihan raya negeri kerana jika beliau meletakkan jawatan sekarang, ia mungkin mencetuskan pergelutan kuasa di dalam parti.

    "Beliau perlu mempersiapkan seseorang untuk mengambil alih. Kita mungkin melihat beberapa petanda siapa orang itu selepas konvensyen PBB," katanya.

    Dr Sivamurugan berkata daripada perspektif strategi politik, ia mungkin kurang bijak bagi beliau untuk melepaskan jawatan sebelum pilihan raya negeri memandangkan parti itu mungkin memberi perhatian yang lebih kepada siapa yang akan menjadi ketua menteri selepas itu daripada memenangi atau mengekalkan kuasa dalam pilihan raya negeri.

    "Isu mana yang mahu diberi perhatian, kepimpinan negeri atau pilihan raya negeri? Taib tidak akan menjadi isu pilihan raya jika beliau terus kekal dan mengetuai kempen dalam pilihan raya negeri akan datang. Pendapat rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak semuanya berbeza. Sebab itu, adalah lebih baik bagi Taib melepaskan jawatan hanya selepas pilihan raya negeri," katanya.

    Pengganti berpotensi mungkin datang dari mereka di dalam kedudukan timbalan presiden parti, mereka yang biasanya dipersiapkan untuk mengambil alih kepimpinan tertinggi. Tapi politik di Sarawak berbeza, ia tidak bermakna bahawa perkara itu akan terjadi.

    Taib, 74, dipercayai serius mencari pemimpin untuk mengetuai parti. Beliau menerajui PBB sejak 26 Mac, 1981, satu tempoh kira-kira 29 tahun.

    Apa yang menarik mengenainya ialah sesiapa yang bakal menggantikan beliau sebagai presiden PBB bakal menjadi ketua menteri Sarawak.

    Pada masa lepas, Taib telah memerhati sejumlah pemimpin PBB yang boleh mengambil alih kepimpinannya termasuk Tan Sri Dr Sulaiman Daud, Datuk Seri Effendi Norwawi, Datuk Bujang Haji Ulis, Datuk Abang Abu Bakar Mustapha dan Datuk Seri Haji Adenan Satem. Bagaimanapun, kesemua mereka sedikit sebanyak telah dilupakan, atas beberapa sebab - sesetengah daripada mereka dikatakan tidak sabar, sesetengahnya enggan menunggu.

    PBB ditubuhkan berikutan penggabungan antara Parti Bumiputra dan Parti Pesaka pada Januari 1973. Dalam sejarah parti itu, tiada siapa yang pernah mencabar presiden parti dan kebanyakan kedudukan tertinggi tidak ditandingi, kecuali dalam dua peristiwa, pada 1998 dan 2005, tetapi ia hanya membabitkan jawatan timbalan presiden.

    Pada 1998, Adenan dan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg bertanding bagi merebut jawatan timbalan presiden, yang diperuntukkan bagi seksyen Melayu/Melanau dalam PBB. Abang Johari menang selepas mendapat sokongan kuat daripada anggota-anggota keturunan Dayak walaupun kenyataannya Adenan disokong kuat oleh Taib pada masa itu.

    Adenan, kemudian dilantik oleh Taib sebagai naib presiden kanan parti itu. Tujuh tahun kemudian, Adenan mencabar Abang Johari, tetapi perwakilan persidangan ditangguhkan apabila dilaporkan sesetengah para penyokong Adenan didakwa menggandakan cawangan-cawangan dalam 40 kawasan.

    PBB kemudian dinasihatkan Pendaftar Pertubuhan untuk mengadakan pemilihan atau berdepan dibatalkan pendaftaran seperti Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) yang sudah tidak wujud lagi.

    Pada 2006 Taib telah membayangkan bahawa beliau akan menduduki kerusi ketua menteri sehingga pilihan raya negeri memandangkan tempoh pentadbiran negeri sekarang akan tamat pada Julai tahun depan. Tetapi, seawal akhir tahun lepas, Taib menghantar satu isyarat bahawa beliau bersedia mengundur diri dan dilaporkan sedang mencari seseorang tanpa mengira kaum untuk dilatih bagi mengambil alih kepimpinan daripadanya.

    Cakap-cakap bahawa Taib bersedia menyerahkan baton semakin bertambah April tahun lepas berikutan kematian isterinya, Puan Sri Laila Taib, yang disifatkan sebagai penyokong kuat kepada Taib dalam karier politiknya.

    Oleh itu, tumpuan kepentingan kini ditumpukan kepada kelompok semasa para pemimpin kanan - timbalan presiden (1) Tan Sri Alfred Jabu, timbalan presiden (II), Abang Johari dan naib presiden kanan Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan sebagai calon pengganti.

    Alfred Jabu, seorang graduan pertanian dan ahli politik berpengalaman, telah dididik oleh dua ahli politik terkenal Sarawak - Tun Abdul Rahman Yaakub, mantan ketua menteri dan Yang Dipertua Negeri, dan kemudian oleh Taib sendiri.

    Sejak dipilih sebagai ADUN Layar pada 1974, beliau telah dilantik dalam pelbagai jawatan kementerian, termasuk timbalan ketua menteri di bawah Rahman, dan sejak Mac 1981 di bawah Taib.

    Seorang lagi calon ketua menteri ialah Abang Johari, yang datang dari keluarga ternama di mana bapanya, Tun Abang Openg, merupakan gabenor pertama Sarawak. Dengan memegang satu ijazah MBA dari sebuah universiti Britain, beliau dikatakan telah menunjukkan kebolehan sebagai menteri pembangunan
    industri sebelum bertukar ke Kementerian Pelancongan.

    Dalam rombakan kabinet terbaru negeri, beliau dipertanggungjawabkan untuk menjaga Kementerian
    Pembangunan Bandar dan Perumahan negeri.

    Anak Taib, Datuk Seri Sulaiman yang meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri pelancongan baru-baru ini, juga telah disebut-sebut sebagai seorang lagi bakal calon kerana terdapat spekulasi bahawa bapanya mahu beliau kembali ke Sarawak dan "dilatih untuk mengambil alih".

    Pemerhati politik yang memantau dengan teliti politik Sarawak berkata walaupun Sulaiman tidak menawarkan diri untuk bertanding apa-apa jawatan dalam pemilihan parti tidak lama lagi, ini tidak bermakna bahawa beliau tidak akan dipilih sebagai seorang calon dalam pilihan raya negeri nanti.

    Seorang lagi yang bercita-cita sebagai ketua menteri ialah Awang Tengah, menteri kemudahan awam dan menteri kedua perancangan dan pengurusan sumber, yang disifatkan oleh sesetengah orang sebagai jawatan menteri yang cukup berpengaruh selepas Taib dalam kabinet negeri.

    Terdapat cakap-cakap bahawa Taib telah mendapatkan pandangan rakyat yang rapat dengan beliau termasuk sesetengah menteri keturunan Dayak dan Cina berhubung bakal penggantinya.

    Jadi, siapa bakal pengganti Taib? Teka teki masih berterusan.- Malaysiakini

    PAKATAN: SATU LAWAN SATU DI SARAWAK

    Pakatan Rakyat telah bersetuju agar semua pertandingan dalam pilihanraya negeri Sarawak yang akan datang adalah pertembungan satu lawan satu antara Pakatan dengan BN.

    Setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution berkata, Pakatan telah mula membuat persiapan untuk menghadapi pilihanraya negeri itu yang dijangka diadakan beberapa bulan akan datang, kemungkinan antara bulan Jun dan Julai ini.

    Pilihan raya negeri Sarawak - yang terakhir berlangsung pada 2006 - mesti diadakan dalam tempoh 16 bulan ini. Sarawak merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak mengadakan pilihanraya negeri serentak dengan pilihanraya Parlimen.

    Saifuddin berkata, strategi satu lawan satu itu - yang telah menghasilkan kemenangan besar kepada pembangkang dalam pilihanraya umum 2008 - akan digunakan dalam pilihan raya negeri Sarawak kali ini.

    "PKR, DAP dan PAS pada prinsipnya telah bersetuju dengan pertandingan satu lawan satu dengan BN. Kita pastinya berharap ia akan memberi impak yang besar kali ini," katanya kepada Malaysiakini.

    Tsunami politik pada 2008 menyaksikan lima negeri di Semenanjung jatuh ke tangan pembangkang serta menafikan BN penguasaan majoriti dua pertiga di Parlimen.

    Sarawak mempunyai 71 kerusi negeri, dengan 62 daripadanya dikuasai oleh BN. Manakala DAp, Parti Cinta Malaysia yang baru ditubuhkan dan Bebas, menang sembilan kerusi.

    Pilihan raya umum 2008 telah menyaksikan berlakunya beberapa pertandingan tiga penjuru yang membabitkan parti-parti Pakatan di Sabah dan Sarawak.

    Saifuddin yang juga ahli parlimen Machang berkata, perkara itu telah dibincangkan oleh majlis presiden Pakatan pada hari Isnin.

    Majlis itu, kata beliau, seterusnya akan menumpukan kepada perbincangan mengenai pilihan raya negeri Sarawak, khususnya mengenai strategi pertandingan satu lawan satu, serta memanfaatkan jentera pilihan raya bersama.- Malaysiakini

    Wednesday, February 17, 2010

    QAZAF ANWAR DITANGGUH 10 MAC

    Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur terpaksa menunda perbicaraan qazaf terhadap Saiful Bukhari Azlan kepada 10 Mac, berikutan kelewatan kerajaan Umno-BN menfailkan afidavit balas walaupun diberi dua minggu berbuat demikian.

    Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kelewatan itu disengajakan untuk melengah-lengahkan usaha beliau mendapatkaan keadilan mengikut hukum syarak.

    Beliau sekali lagi menekankan keperluan Mahkamah Syariah memastikan proses perundangan Islam tidak dicemari dengan campurtangan parti pemerintah atau institusi yang dikawalnya.

    Menteri Hal-ehwal Islam Datuk Jamil Khir Baharom dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan sebelum ini memohon membatalkan permohonan Anwar untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi mendakwa Saiful di bawah undang-undangg qazaf.

    Hakim Mohd Shukor Sabudin memberikan tempoh dua minggu untuk Jamil dan JAWI menfailkan afidavit bagi menyokong permohonan mereka itu dan menetapkan hari ini untuk mendengar hujah.

    Namun kes berkenaan tidak dapat berjalan kerana peguam Jamil dan JAWI gagal mengemukakan afidavit.

    “Saya tengok hakim masih memberi ruang walaupun pendakwa ambil sambil lewa, bagi arahan suruh jawap dua minggu, kalau macam ini prestasi, ada baik juga kerana saya terlibat dulu dalam mengangkat mahkamah syariah sekarang saya sendiri melihat prestasi" ujar Anwar.

    Saiful mendakwa kononnya beliau diliwat oleh mantan timbalan perdana menteri itu pada Jun 2008.

    Laporan tiga pakar Hospital Kuala Lumpur mensabitkan tidak ada bukti klinikal menunjukkan Saiful mangsa liwat.

    Justeru Saiful perlu menghadapi perbicaraan qazaf bagi membela dakwaannya itu dari sudut Islam.

    Anwar mendakwa Saiful diperalatkan oleh Perdana Menteri Najib Razak yang disahkan menemui Saiful beberapa hari sebelum beliau membuat dakwaan itu pada Ogos tahun 2008.

    Ketua pembangkang ini terkilan dengan cubaan terbuka Jamil dan Jawi untuk menghalang usaha perbicaraan qazaf terhadap Saiful seperti mana yang di tuntut oleh Islam.

    Pertama agak aneh bagi Mahkamah Syariah atas tuntutan Menteri Agama atas arahan Umno untuk meminta Mahkamah Syariah tidak membicarakan isu qazaf ini kononnnya di luar bukan bidang kuasa dan dalam kes lain-lain dipertahankan di bidang kuasa mahkamah syariah.

    “Sekarang kita yang mahu memperkukuhkan Mahkamah Syariah, menteri Ugama Umno ini minta bidang kuasa mahkamah syariah disempitkan" katanya lagi.

    Kerajaan umno-Bn dilihat bertindak demikian kerana khuatir kredibiliti Saiful akan musnah sama sekali jika terbukti beliau membuat tuduhan palsu ke atas Anwar di Mahkamah Syariah.

    Jamil memberitahu parlimen kononnya proses perundangan Islam hanya boleh dijalankan selepas perbicaraan kes sivil Anwar di Mahkamah Tinggi di mana Saiful menjadi saksi utama, sudah selesai.

    Alasan itu ditolak oleh pakar-pakar perundangan sebagai cetek kerana pertuduhan qazaf adalah mengikut undang-undang Islam dan bebas daripada sistem undang-undang sivil.

    “Saya harap Mahkamah Syariah ini dibersihkan dari unsur begini, menyekat bidang kuasa dan juga penglibatan orang yang terlibat dari segi taktik kotor atas mahkamah, kita kena jaga maruah baik Jabatan Agama, mahkamah syariah daripada dicemari orang-orang sebegini".

    Wednesday, February 10, 2010

    Kerajaan negeri Perak terus goyah

    Walaupun keputusan Mahkamah Persekutuan memihak kepada Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, namun kedudukan menteri besar Perak itu ternyata goyah.

    Zambry masih bergantung kepada tiga ahli dewan undangan negeri Pakatan Rakyat yang berpaling tadah dan mendakwa mereka mesra dengan kerajaan Barisan Nasional (BN).

    BN dan Pakatan Rakyat masing-masing mempunyai 28 kerusi di dun Perak manakala tiga lagi diduduki oleh tiga wakil 'bebas' berkenaan.

    "Kedudukan Zambry ternyata goyah dan dia terpaksa menari mengikut rentak dan irama serta tuntutan daripada tiga 'katak' berkenaan, jika ingin meneruskan kuasa sehingga pilihan raya sdiadakan," kata menteri besar yang disingkirkan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

    "Pilihan terbaik bagi beliau ialah mengumumkan pilihan raya kecil bagi ketiga-tiga kerusi berkenaan (Jelapang, Changkat Jering dan Behrang) untuk memperkuatkan pegangan politiknya bagi mentadbir Perak," katanya lagi.

    Sementara itu, Bernama melaporkan Mohammad Nizar sebagai berkata Pakatan Rakyat sedia memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) demi kepentingan rakyat sekiranya syarat yang mereka tetapkan dipenuhi.

    Beliau berkata anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti gabungan pembangkang yang bermesyuarat malam semalam juga menetapkan supaya mereka dibenarkan menggunakan kemudahan dewan orang ramai di Perak untuk menjalankan aktivitinya.

    Selain tidak disekat daripada menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Negeri dan Jawatankuasa Tindakan Daerah bagi membolehkan mereka memberikan input bagi kepentingan rakyat Perak, katanya kepada pemberita di Ipoh malam semalam.

    Beliau juga berkata: "Kami merayu ADUN pembangkang dibekalkan dengan sedikit peruntukan kewangan supaya kita dapat melancarkan kerja-kerja berkaitan kebajikan rakyat."

    Mohammad Nizar berkata walaupun beliau menerima keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak, tetap menganggap ia merupakan sesuatu yang menyedihkan dan akan meneliti keputusan penghakiman itu sebelum memutuskan tindakan seterusnya.- Malaysiakini

    Penulis blog aibkan Nik Aziz dan Anwar, ditahan

    Penulis blog yang memaparkan foto yang diubahsuai yang menunjukkan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam keadaan yang mengaibkan, telah ditahan semalam.

    Sumber polis Kelantan mengesahkan kepada dia ditahan selepas menyerah diri di ibu pejabat polis kontinjen Johor Bahru.

    Menurutnya, penulis blog lelaki berumur sekitar 40-an itu ditahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    "Pihak polis akan menjalankan siasatan di sana terlebih dahulu," kata sumber sambil menambah bahawa penulis blog itu masih ditahan di Johor Bahru.

    Ahad lalu, Setiausaha Keselamatan PAS Kelantan Mejar (B) Mohamad Ibrahim membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu terhadap tindakan blogger tersebut.

    Mohamad dilaporkan berpendapat tindakan penulis blog itu adalah bersifat provokatif dan bertentangan dengan undang-undang.

    Sementara itu, Star online hari ini melaporkan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff mengesahkan penahanan penulis blog itu dan menurutnya, siasatan lanjut akan diuruskan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan.

    Penahanan penulis blog itu adalah penulis yang kedua ditahan tahun ini selepas Khairul Nizam Abdul Ghani atau dikenali sebagai Aduka Taruna ditahan pada 29 Januari lalu.

    Khairul Nizam yang berasal daripada Rumah Rakyat Pancor Paroi, Negeri Sembilan, kemudiannya dihadapkan di Mahkamah Seksyen Seremban kerana didakwa memaparkan dalam blognya tulisan yang mengaibkan Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail.

    Dia dituduh didakwa di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.- Malaysiakini