Iklan
Saya menjawab: “Semuanya cerita lama, saya sudah serahkan laporan lengkap, rasanya lebih daripada lima kali kepada BPR, sama ada di Putrajaya mahupun Shah Alam. Saya terbitkan akhbar tentang hal itu, ada yang dirampas, babitkan lebih 50,000 naskhah, kereta dipecahkan dan kemudiannya sakit hampir dua tahun!”
Bagaimanapun, apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikatakan mahu membanteras amalan rasuah, suatu jenayah paling merbahaya dan kronik, secara lebih serius dan menyeluruh itu, melalui Ketua Pesuruhjayanya, Dato’ Seri Ahmad Said Hamdan membuat kenyataan bahawa terdapat bukti-bukti kukuh menunjukkan Khalid menyalahguna kuasanya berhubung penyelenggaran kereta peribadinya serta pembelian 46 lembu korban, saya dihubungi lebih ramai pembaca.
“Sudah sampai masanya saudara bongkar kembali kes-kes lama Khir Toyo, yang babitkan jauh lebih banyak wang rakyat dan pembayar cukai,” tegas seorang pembaca yang mengaku mengikuti setiap laporan saya terhadap BPR. “Saya tidak mahu jadikan ia konflik peribadi berpanjangan,” sambut saya. Pastinya saya yakin mereka tidak puas hati dengan jawapan mengelak itu.