Satu laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zamby Abd Kadir hari ini.
Laporan tersebut dibuat di Ipoh pada jam 11 pagi tadi, oleh pemimpin DAP yang menuduh menteri besar itu menyalahguna kuasanya dengan melantik tiga orang penasihat yang bertaraf exco.
Menurut Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming, setiap penasihat tersebut akan menerima gaji sebanyak RM240,000 setahun.
Jumlah tersebut termasuk gaji bulanan RM15,000, elauan percutian (RM20,000), sebuah kereta berserta pemandu, elaun bayaran bil bulanan (RM1,000), elaun pakaian bulanan (RM3,500) dan lesen untuk memiliki senjatapi.
Bagi jumlah keseluruhannya, kerajaan negeri akan berbelanja sebanyak RM720,000 setiap tahun untuk membayar gaji dan elaun tiga penasihat tersebut.
"Tidak terdapat sebarang peruntukan dalam perlembagaan negeri Perak yang membenarkan pelantikan seumpama itu dibuat dan ia adalah wang rakyat," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan tersebut.- Malaysiakini