Sidang media berhubung laporan perubatan yang dibuat oleh Dr Mohamed Osman Abdul Hamid terhadap Saiful Bukhari Azlan telah dibuat sendirei oleh DSAI. Laporan itu jelas menunjukkan bahawa tuduhan yang dibuat merupakan satu fitnah jahat yang tidak berasas dan bermotifkan politik. Tuduhan itu bertujuan membunuh karakter Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berhasrat untuk menggagalkan aspirasi rakyat yang inginkan perubahan.
Kita sememangnya menjangka dan tidak terkejut akan ada satu tindak balas bagi menunjukkan Dr Mohamed Osman dan laporan yang didedahkan semalam tidak mempunyai wibawa. Petang ini Pusrawi telah mengeluarkan kenyataan lima perenggan menafikan bahawa seorang doktornya telah melakukan pemeriksaan terhadap Mohd. Saiful Bukhari Azlan berhubung aduan liwat pada 28 Jun lalu. Kami merasa dukacita kerana Pusrawi turut diheret sama bagi mempertahankan pertuduhan fitnah tersebut.
Kami mengulangi kenyataan Datuk Seri Anwar yang berpandangan negara ini berada dalam kedudukan yang tenat dari aspek ekonomi dan sosial dan pentingnya untuk kita melangkah ke hadapan bersama bagi menjayakan agenda perubahan.