Demikian menurut Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din kepada Harakahdaily hari ini di Muktamar Tahunan PAS kali ke-54. "Apa yang berlaku dalam konteks Saiful Bukhari bersumpah memperlihatkan keganjilan, bilamana sepatutnya yang bersumpah adalah pihak yang kena tuduh, tetapi apa yang berlaku adalah pihak yang menuduh," katanya. Bahkan tambahnya, pihak yang kena tuduh (Anwar) pula sedang menunggu perbicaraan. Bekas pensyarah Universiti Kebangsaan "Mendengar Saiful melibatkan memohon kepada Allah melaknatinya beserta keluarga dan keturunannya tanpa menyebutkan berapa lama seolah-olah sampai ke hari kiamat, mana ada sumpah yang meminta Allah melaknati keturunan?" "Tidak sepatutnya keturunan yang akan mewarisi kita dilaknati Allah bersama atas permintaan kita sedangkan mereka (keluarga) tidak melakukan kesalahan," ujarnya. Beliau turut mempertikaikan dalang di sebalik majlis angkat sumpah semalam oleh Saiful. "Saya tidak nampak ini suatu cara yang sebenarnya berlaku dalam hukum syarak. "Iaitu siapa yang menasihati dirinya, sama ada orang politik atau siapa?" tegasnya. Beliau tidak menolak kemungkinan Saiful dinasihati orang politik yang mempergunakan agama untuk memenuhi agenda politik mereka malah menggunakan masjid atau mempergunakan pegawai masjid untuk melakukan perkara yang amat janggal serta tidak kena pada tempatnya. Dalam pada itu, Haron turut mempertikaikan sumpah yang dilafazkan oleh Saiful sebagai tidak dibuat dengan persiapan yang rapi apabila Saiful tersasul menyebut kalimah sumpah tersebut. "Ianya seolah-olah tidak diprogramkan secara teliti, dengan persiapan yang tidak cukup sehingga sampai ke peringkat menyebutkan kalimah sumpah pun tersasul," katanya lagi. Selain itu, beliau menyatakan bahawa mesej Saiful yang kononnya tidak mengetahui tarikh penamaan calon Anwar dengan mengatakan ianya suatu kebetulan adalah bermotif politik. "Ianya dibuat secara tergesa-gesa sebab dirujuk kepada orang yang benar-benar mengetahui prosiding sumpah sperti ini atau mungkin Saiful tidak diberi penerangan yang sejelas-jelasnya tentang akibat sumpah. "Kenapa beliau tidak boleh menunggu sehingga proses mahkamah berjalan dan hukuman dijatuhkan dan apa kepentingan dirinya untuk bersumpah? "Adakah ia agenda dirinya atau orang lain," ujarnya lagi. Walau apapun, Haron berkata ia hanya boleh dijawab dengan meninggalkan tanda tanya. Semalam upacara 'bersumpah' Saiful telah dijalankan di Masjid Wilayah Persekutuan terletak berdekatan dengan Kompleks Mahkamah Jalan Duta. Upacara itu diadakan sehari sebelum Anwar mengemukakan borang pencalonan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Permatang Pauh. Sebelum Saiful 'bersumpah', pihak media telah berkumpul sejak selepas Asar, setelah diberitahu upacara sumpah 'mubahalah' akan dilakukan oleh Saiful. Sebelum itu, Saiful didapati telah hadir di masjid tersebut sekitar pukul 4.30 petang semalam. Adalah difahamkan, Saiful telah 'disorokkan' di salah sebuah bilik dalam masjid itu. Kelihatan dua orang pengawal keselamatan bersama seorang lelaki dan dua orang wanita sedang menunggu di hadapan pintu bilik tersebut yang sementara di hadapan pintu pejabat pentadbiran masjid, kelihatan seorang lelaki yang memakai baju Melayu berwarna ungu sedang berbual-bual dengan pengawal keselamatan. |