Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan dana tambahan sebanyak RM5bilion kepada syarikat pengurusan dana milik kerajaan Valuecap Sdn Bhd dua hari yang lalu kononnya untuk mengelak kegawatan ekonomi. Valuecap Sdn Bhd adalah milikan bersama oleh Kumpulan Wang Amanah Pekerja, Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd. Semalam Menteri Kewangan mengesahkan dana tambahan tersebut akan diperoleh melalui pinjaman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Bagaimanakah pula pinjaman RM5bilion tersebut dapat membawa pulangan sepertimana yang dijanjikan oleh Timbalan Perdana Menteri memandangkan dana tersebut semata-matanya untuk melindungi pelaburan oleh syarikat milik kerajaan (GLC)? Siapakah yang harus bertanggungjawab ke atas pinjaman ini jika mengalami kerugian kelak?
Selain itu, dana tambahan RM5bilion sebenarnya adalah jumlah yang amat sedikit jika dibandingkan dengan jumlah pasaran di Bursa Malaysia iaitu RM689.5bilion, maka suntikan dana tambahan ini tidak akan mempunyai kesan terhadap Bursa Malaysia sepertimana yang diwar-warkan oleh Menteri Kewangan.