Sekumpulan pemimpin pembangkang dan aktivis membuat aduan polis lagi terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung perolehan helikopter Eurocopter dan isu pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Turut hadir bersama membuat laporan polis tersebut, penulis blog dan aktivis pemantauan pilihanraya bebas Amin Iskandar.
Mereka bergerak ke balai polis itu dengan membawa kain rentang bertulis "Najib penuh skandal! Ketika menjadi menteri pertahanan."
Foto-foto Najib, isterinya Rosmah Mansor, Altantuya dan kapal selam turut dipaparkan di kain rentang tersebut.

Bersandarkan surat syarikat Mentari Services Sdn Bhd kepada Najib awal bulan ini, yang telah diterbitkan di Internet termasuk Malaysiakini, SAMM mendesak polis menyiasat secara menyeluruh pembelian pesawat ini yang dibuka tendernya ketika timbalan perdana menteri masih lagi menjawat menteri pertahanan.
Najib kini menteri kewangan.
Mereka juga mendesak polis membuka semula siasatan terhadap pembunuhan wanita Mongolia yang didakwa berkaitan Najib.

Menurutnya, dokumen lain yang dilampirkan termasuk transkrip khidmat pesanan ringkas (SMS) antara timbalan perdana menteri dengan peguam kanan Datuk Shafee Abdullah berhubung perbicaraan penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda, seorang kenalan Najib.
Selain menafikan beberapa kali pembabitan dengan Altantuya, Najib juga menolak dakwaan wujud salah guna kuasa seperti teks mesej SMS yang disebarkan itu - Malaysiakini