Ribuan memenuhi ruang untuk mendengar ceramah perdana yang diadakan semalam di Kampung Selemak, Rembau Negeri Sembilan. Turut serta bersama saya menyampaikan syarahan ialah Sdr Zaid Ibrahim, Sdr Mohamad Sabu dan Sdr Badrul Hisham.
Acara bersempena sambutan bulan kemerdekaan ini disambut meriah oleh warga setempat yang terdiri, kebanyakannya dari orang Melayu. Khusyuk mereka mendengar hujah para penceramah berhubung kerosakan yang dilakukan pimpinan umno-bn terhadap negara ini.
Terpancar semangat patriotisme sejati dari para pendengar dan pendokong Pakatan Rakyat, khususnya penyokong Parti Keadilan Rakyat. Meluap-luap keghairahan mencetus nyala kesedaran lalu menghangati suasana ceramah perdana tersebut. Ramai dari mereka mahu mendengar dari pimpinan termasuk dari saya sendiri berkaitan fitnah pengkhianatan orang Melayu.
Melihat kepada sambutan, inshaallah perjuangan kita ini tidak tumbang akibat tuduhan murahan sedemikian. Rakyat sedar perjuangan Pakatan Rakyat adalah untuk satu usaha Islah Mastata’tum; Keadilan, Kemakmuran dan Kesejahteraan Untuk Semua.
Sebagaimana saya ungkapkan sebelum ini, rakyat pastinya sedar, siapakah yang sebenarnya menggadai khazanah negara demi untuk kepentingan yang sedikit. Kita pasti tidak lupa gunung, bukit dan pulau yang diberikan kepada tauke-tauke judi kaya. Tidak juga lesen judi yang semakin bertambah buat kroni serta merampas saham, permit, kontrak dan AP khusus milik orang Melayu. Makanya yang miskin papa kedana, yang kaya bertambah kaya.
Sedangkan ratusan ekar tanah buat sekolah agama rakyat dan sekolah untuk kaum India serta Cina dicemuh sebagai mengabaikan kepentingan peribumi. Jelas sekali pemimpin umno bersikap dua muka dalam hal ini. Berhadapan dengan bukan Melayu, mereka bercakap bahasa harmoni dan perpaduan, manakala dengan orang Melayu pula, mereka meracun tuba pemikiran dengan fitnah songsang kononnya saya dan pimpinan Pakatan Rakyat lainnya sebagai pengkhianat.
Inilah wajah sebenar 1malaysia gagasan Dato’ Sri Najib. Pembohongan dan kepura-puraan yang berbeza untuk orang Melayu dan kepada yang bukan Melayu.
ANWAR IBRAHIM