Selepas saya menjadi sasaran fitnah, serangan pimpinan umno-bn beralih pula kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Segala macam tuduhan dihamburkan oleh media milik penguasa kepada ulama tersebut. Pimpinan umno dan konco-konco mereka sanggup memutar belitkan fakta hatta memintal fitnah asalkan matlamat untuk memenangi pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir terpenuhi.
Apatah lagi bila tersepit dihimpit kecuaian sendiri ketika memilih calon, segala upaya dan jentera propaganda digembeling merekayasa fiksi politik. Adu domba dilatari politik perkauman sempit biar rakyat terus berpecah, sedangkan pimpinan umno seharusnya sedar, merekalah yang menyebabkan terbit rasa curiga dalam masyarakat. Walhasil merekalah yang terkait dengan pelbagai tuduhan penyelewengan amanah rakyat.
Manakala itu Pakatan Rakyat tetap terus beriltizam untuk membawa Perubahan dan arus Politik baru sunggupun berulang kali tuduhan yang tidak berasas dilemparkan kepada kami. Saya yakin rakyat akan membuat pilihan yang tepat memandangkan mereka tidak sanggup dipermainkan lagi.
ANWAR IBRAHIM