Adakah syarikat pembalakan Samling menghadiahkan rumah agam berusia 100 tahun di Seattle bernilai sekurang-kurangnya US$6.8 juta (RM21 juta) kepada keluarga ketua menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud?
Soalan itu diajukan di sebuah laman sesawang anti-Abdul Taib - Sarawak Report dalam siri terbarunya yang mendedahkan kepincangan di negeri itu.
Rumah agam itu dibeli oleh firma Pelaburan CSY yang berpangkalan di California pada 1991 melalui anak syarikatnya, WA Boylston Inc, dan pemilikan hartanah itu didakwa dipindahkan kepada keluarga Taib beberapa tahun kemudian dengan harga nominal US$1 (RM3.1).
Menurut Sarawak Report, CSY adalah huruf pertama nama presiden Pelaburan CSY, - Chee Siew Yaw - anak lelaki Yaw Teck Seng yang disenaraikan oleh majalah Forbes sebagai rakyat Malaysia yang ke-13 terkaya di Malaysia bersama anak sulungnya, Yaw Chee Ming.
Teck Seng, 72, adalah pengasas konglomerate Samling Global, yang menjalankan operasi pembalakan di hutan di Sarawak sebelum berpindah ke luar negara seperti Guyana, Russia dan China.
Awal minggu ini, dana pencen Norway mengumumkan keputusan kerajaan untuk melupuskan 16 juta sahamnya di Samling berikutan operasi 'tidak beretika' yang dijalankan di syarikat itu di Sarawak dan Guyana. Ia termasuk dakwaan menjalankan kegiatan pembalakan haram dan memusnahkan alam sekitar.
Bagaimanapun semalam, Abdul Taib mempertahankan Samling, sambil menyifatkannya sebagai syarikat yang 'bertanggung-jawab'.
“Abdul Taib dalam kapasitinya sebagai ketua menteri, menteri kewangan, menteri perancangan negeri dan sumber - telah menguasai pengeluaran lesen pembalakan Sarawak untuk lebih 30 tahun, - ini menimbulkan persoalan berhubung tindakannya yang memihak syarikat tidak beretika,” kata Sarawak Report.
Rumah agam dua tingkat ini, pada pada asalanya dibina pada 1910. Ia terletak di kawasan kejiranan eksklusif di Boylston Avenue East yang mempunyai pandangan bandar Seattle.
Bangunan ini mempunyai enam bilik mandi, lima bilik tidur dan bilik bawah tanh, patio yang luas, garaj, gazebo, kolam renang dan gelanggang tennis.
Menurut Sarawak Report, rumah agam milik keluarga ini mempunyai kawasan yang boleh memuatkan enam padang bola.- Malaysiakini