SIBU 14 Okt - Fenomena kebanjiran lebih 300,000 meter padu sisa kayu dan balak yang menyekat laluan air di Sungai Rejang sejak 7 Oktober lalu sudah berakhir namun persoalan paling penting yang tidak dijawab oleh kerajaan negeri Barisan Nasional Sarawak ialah samada air sungai tersebut selamat diminum.
Menurut sumber industri pembalakan di Putai, ratusan ribu penduduk yang tinggal disepanjang Sungai Rejang kini terdedah dengan bahaya keracunan dan pencemaran disebabkan bahan kimia yang hanyut bersama himpunan kayu kayan yang hanyut di dalam sungai tersebut.
Suara Keadilan difahamkan akibat banjir besar yang menjadi punca berlakunya himpunan kayu kayan tersebut, bahan kimia merbahaya seperti perawat kulat (fungicide), glue dan diesel dipercayai telah di bawa oleh arus banjir ke dalam sungai.
"Pembalak selalunya akan membina 'log pond' untuk menyimpan balak yang telah ditebang sebelum diangkut oleh jentera berat ke dalam 'tug boat' melalui jalan air. Tersimpan di dalam 'log pond' ini juga beratus-ratus tong yang menyimpan perawat kulat.
"Terdapat juga kilang-kilang papan lapis yang menggunakan bahan perekat dalam proses pembuatan dan bahan ini juga dipercayai turut memasukki sistem ekologi Sungai Rejang dalam banjir itu," kata sumber tersebut.
Sungai Rejang yang merupa sungai terpanjang di Malaysia dengan jarak 350 kilometer menjadi nadi kehidupan kepada beberapa bandar utama dan lebih 1,000 kampung dan desa yang menampung ratusan ribu penduduk negeri Sarawak.
Antara bandar penting yang mendapat bekalan air secara terus dari Sungai Rejang termasuk Pelabuhan Tanjung Manis, Sarikei (50,000 penduduk), Bintangor (30,755), Sibu (126,000), Kanowit (28,000), Ngemah (dalam Kanowit), Song (22,200) dan Kapit (100,000).
Air yang sedut dari bandar-bandar ini kemudiannya di salurkan ke Salim di Sibu untuk dirawat.
Sebarang pencemaran air di Sungai Rejang dikatakan akan menjejaskan bukan sahaja sumber air minuman di Sarawak malah memberi kesan kepada industri perikanan di kawasan itu.
"Kerajaan negeri mesti mengambil langkah segera untuk membuat kajian di makmal bagi memastikan air minuman dari sumber Sungai Rejang selamat diminum dan juga ikan yang dimakan tidak mengandungi bahan kimia merbahaya," kata sumber itu lagi.
Terdapat dakwaan sisa kayu kayan yang sudah terkumpul di Putai itu hasil pembalakan haram di kawasan pendalaman Sarawak yang bersempadan dengan Kalimantan sejak 10 tahun dahulu.
"Banyak aktiviti pembalakan haram berlaku di kawasan pendalaman Sarawak tapi malangnya tidak ada pemantauan satu usaha untuk membanteras gejala ini.
"Kerosakan yang berlaku disebabkan himpunan kayu itu malah lebih besar berbanding statistik rasmi yang dilaporkan," ujar sumber itu.
Menurut Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr George Chan dua jambatan Bailey serta lima jeti rosak dalam kejadian itu mengakibatkan kerugian bernilai RM2.7 juta sahaja.- Suara Keadilan