Selepas pelbagai spekulasi, Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim akhirnya mengesahkan beliau akan bertanding jawatan timbalan presiden.
Sebelum ini, anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR itu menyuarakan hasratnya untuk bertanding dalam pemilihan parti kali ini, tetapi tidak menyatakan secara khusus jawatan berkenaan.
Menurut laporan media, Zaid mengumumkan keputusannya untuk bertanding jawatan nombor 2 itu di majlis berbuka puasa di Kuantan hari ini.
Beliau dilaporkan menyatakan keputusannya di hadapan 30 jawatankuasa perhubungan PKR Pahang dan ahli parti yang hadir.
Bekas menteri di jabatan perdana menteri itu bagaimanapun berkata, ia bergantungnya sokongan dan pencalonan yang bakal diterimanya nanti.
Pencalonan bagi jawatan nombor 2 itu pada mulanya hanya dijangka selepas penyandangnya, Syed Husin Ali mengumumkan hasratnya selepas Hari Raya Aidilfitri ini, untuk tidak mempertahankan jawatannya.
Bagaimanapun, ekoran pengumuman Zaid itu, tumpuan kini beralih kepada siapakah lawannya nanti. Pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali disebut-sebut akan bertanding jawatan timbalan presiden.
Yang lain-lainnya yang dijangka turut menawarkan diri ialah naib presiden Mustapha Kamil Ayub dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.- Malaysiakini